Insurans Kesihatan Bayi | Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Dalam Kandungan

PRUmy Child adalah insurans untuk kanak-kanak termasuk bayi sejak dalam kandungan sehingga dia lahir. PRUmy Child adalah satu-satunya insurans yang ada pelan khusus untuk bayi yang belum dilahirkan.

Biasanya insurans biasa hanya boleh diambil selepas bayi berusia dua minggu. Tetapi kita boleh beli insurans PRUmy Child ini sejak usia kandungan 18-35 minggu (ibu mesti berusia antara 18-45 tahun).

Ada dua pelan khusus untuk bayi belum lahir dalam insurans PRUmy Child.

  • PRUearly start
  • PRUbest start

pru my child 01 Insurans Kesihatan Bayi | Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Dalam Kandungan

PRUearly start lebih murah bayaran premium tetapi tidak memberi manafaat jika ada komplikasi kehamilan.

  • Kematian ibu bersalin dibayar RM10 ribu.
  • Manafaat penjagaan bayi pramatang yang dimasukkan dalam ICU adalah RM300 sehari
  • Inkubasi bayi baru lahir RM100 sehari (kos penggunaan inkubator)
  • Kematian ibu bersalin RM10 ribu.
  • Penyakit konginetal yang dilindungi hanya ada 3 sahaja iaitu Atresia Anal, Katarak Konginetal dan Kepekakan Konginetal.
  • Lain-lain manafaat sama dengan PRUbest start.

pru my child 02 Insurans Kesihatan Bayi | Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Dalam Kandungan

Premium PRUbest start sekurang-kurangnya RM350 sebulan dan memberikan manafaat berikut.

  • Komplikasi kehamilan (eklampsia, abrupsi plasenta dan embolisme cecair amnion) RM5,000
  • Kematian janin – jumlah premium dibayar
  • Kematian ibu bersalin dalam masa 30 hari selepas bersalin – RM20 ribu
  • Kemasukan ke ICU/HDU akibat kelahiran pramatang – RM500 sehari (maksima 30 hari)
  • Kematian bayi dalam masa 30 hari selepas bersalin – jumlah premium dibayar
  • Inkubasi bayi baru lahir – RM200 sehari (maksima 60 hari)
  • Anak dimasukkan ke hospital akibat penyakit kongenital (diagnos sebelum umur 2 tahun) – bayaran balik tuntutan sehingga RM25 ribu setahun sehingga anak berumur 2 tahun.

Berikut ialah penyakit kongenital yang dilindungi PRUbest start.

  • Atresia Anal – lubang dubur tiada atau berada pada tempat yang salah
  • Septum Atrium Berlubang – lubang pada dinding antara kebuk atria kanan dan kiri jantung (jantung berlubang)
  • Katarak Kongenital – katarak/selaput pada kornea mata (kecacatan mata)
  • Kepekakan Kongenital – kecacatan pendengaran/kepekakan
  • Hernia Diafragmatik Kongenital – otot yang memisahkan dada dan lubang abdomen tidak tertutup sepenuhnya dan menyebabkan tisu/organ terkeluar dari dada
  • Hidrosefalus Infantil – cecair dalam otak
  • Tetralogi Fallot – kecacatan jantung kompleks termasuk pulmonary stenosis (ruang pulmonari arteri yang sempit), interventricular septal defect (ruang tidak normal antara ventrikel kanan dan kiri jantung), hypertrophy of right ventricle (penebalan dinding ventrikel kanan) dan dextroposition of the aorta (aorta tidak pada tempat sepatutnya)
  • Transposisi Pembuluh Utama – kecacatan kardiovaskular dimana kedudukan pembuluh darah utama pada jantung adalah terbalik
  • Trunkus Arteriosus – kecacatan jantung dimana hanya satu pembuluh darah (truncus arteriosus) keluar dari ventrikel kanan dan kiri jantung (sepatutnya ada dua pembuluh darah – pulmonary artery and aorta)
  • Kecacatan Septum Ventrikular – lubang pada dinding antara ventrikel kanan dan kiri jantung (jantung berlubang)

Kebaikan Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Belum Lahir

Manafaat perlindungan insurans PRUmy Child ini bagi saya tidaklah menyeluruh. Tetapi agak bagus jika ada terutama jika kita merancang bersalin di hospital swasta. Manafaat penjagaan bayi pramatang yang dimasukkan dalam ICU dan menggunakan inkubator sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan kita.

Malah manafaat penjagaan bayi pramatang boleh dituntut walaupun anak dimasukkan ICU dalam hospital kerajaan.

PRUmy Child juga dapat menampung kos rawatan akibat penyakit kongenital yang mungkin berlaku pada bayi seperti jantung berlubang, kecacatan penglihatan dan pendengaran serta lain-lain (rujuk penyakit kongenital yang dilindungi).

Jika bayi disahkan ada penyakit kongenital semasa dilahirkan, pihak insurans PRUmy Child tidak boleh membatalkan insurans perubatan yang telah diambil untuk anak. Bermakna anak akan tetap mendapat perlindungan insurans perubatan sepanjang hayat bergantung pada terma dan syarat.

Keburukan Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Belum Lahir

Polisi insurans PRUmy Child tidak boleh dibatalkan oleh kita selama 2 tahun. Jika kita mengambil pelan PRUbest start dengan premium RM350 sebulan (RM4,200 setahun – perlindungan insurans perubatan RM170 ribu sepanjang hayat, parent auto save, best start), maka kita perlu kekal membayar RM350 sebulan selama 2 tahun pertama.

Perlindungan insurans PRUmy Child hanya melindungi penyakit kongenital tertentu. Penyakit yang biasa berlaku pada bayi baru lahir seperti jaundice, jangkitan kuman pada usus, masalah paru-paru, penyakit saraf, penyakit kulit dan lain-lain yang memerlukan kemasukan ke hospital dan rawatan khusus tidak dilindungi.

Permohonan Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Belum Lahir

Walaupun perlindungan insurans PRUmy Child yang diberikan tidak menyeluruh tetapi adalah lebih baik ada insurans daripada tiada. Tidak ada skim insurans lain yang memberikan perlindungan pada bayi sejak dari dalam kandungan.

pru my child 03 Insurans Kesihatan Bayi | Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Dalam Kandungan

Jadi saya menghubungi agen insurans saya. Selain dari mengisi dokumen permohonan saya juga perlu memberikan:

  • Obstetrics & Gynaecology Report (kos akan dibayar balik oleh Prudential)
  • Gambar scan bayi dalam kandungan (2D memadai – dulu mereka nak 3D)

pru my child 04 Insurans Kesihatan Bayi | Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Dalam Kandungan

Antara maklumat yang diperlukan dalam O&G report.

  • Maklumat kandungan terdahulu (termasuk keguguran dan pengguguran)
  • Sejarah perubatan keluarga
  • Sejarah mengandung terdahulu dan sekarang
  • Penilaian bayi dalam kandungan

Prudential akan menilai O&G report untuk tentukan samada kita layak atau tidak mengambil insurans PRUmy Child dibawah pelan yang dipohon. Kalau ada masalah perubatan sekarang atau ada alami komplikasi semasa kehamilan lalu, memang susah nak lepas.

pru my child 05 Insurans Kesihatan Bayi | Insurans PRUmy Child Untuk Bayi Dalam Kandungan

Saya ada sejarah melahirkan anak tidak cukup bulan (pada 34 minggu akibat kebocoran air ketuban) melalui pembedahan. Saya juga ada sejarah keguguran berulang tiga kali pada awal mengandung (6-10 minggu). Saya juga pernah alami anemia ringan.

Saya tidak ada masalah besar semasa mengandung seperti berat badan berlebihan, eklampsia, pendarahan semasa hamil, tumpah darah, abrupsi placenta, jangkitan pundi kencing dan amniotic fluid embolism.

Tapi malangnya permohonan insurans PRUmy Child (pelan PRUbest Start) saya ditolak. Sebab ditolak kerana sejarah perubatan yang lalu.

Nampaknya pihak Prudential tidak mahu melindungi saya kerana risau terpaksa membayar kos perlindungan manafaat di bawah PRUmy Child (pelan PRUbest Start). Takut anak saya lahir pramatang, masuk ICU dan duduk inkubator. Takut kena bayar RM500x30 + RM200x60 = RM27,000 kerana anak pramatang. Heh heh.

Kelakar bila difikirkan. Syarikat insurans seperti Prudential takut untuk melindungi risiko. Tak perlulah heboh nak buat produk insurans melindungi bayi dalam kandungan jika takut hadapi risiko. Konon lebih hebat dari syarikat insurans lain.

Setiap ibu mengandung ada risiko melahirkan bayi pramatang dan kadar risiko samada tinggi atau rendah bergantung kepada komplikasi kehamilan yang ada.

Sejarah saya hanya melahirkan anak pada 34 minggu tetapi anak saya berat sihat dengan berat 2.45kg dan tidak perlu masuk ICU langsung. Kemungkinan berulang pun sangat tipis.

Sejarah saya keguguran tiga kali (6-10 minggu) pula bukanlan risiko kerana insurans ini hanya boleh diambil semasa kandungan minimum 18 minggu. Lagipun bagi kes kematian janin, insurans akan terbatal dan hanya jumlah premium akan dibayar balik.

Lainlah kalau kita ada sejarah komplikasi kehamilan (eklampsia, abrupsi plasenta dan embolisme cecair amnion) atau ada masalah pada kehamilan sekarang yang kemungkinan besar menyebabkan kelahiran bayi pramatang seperti mengandung kembar, penyakit darah tinggi, berat badan berlebihan, anemia teruk (hemoglobin 4 ke bawah), penyakit jantung, pendarahan semasa hamil dan sebagainya.

Nampaknya insurans PRUmy Child hanya untuk ibu mengandung yang tiada sejarah perubatan menunjukkan komplikasi kehamilan dulu dan sekarang.

Insurans PRUmy Child hanya melindungi mereka yang tiada risiko atau dengan kata lain dapatkan duit premium dari mereka yang kemungkinan besar tidak akan menuntut pampasan.

Kalau anda ada apa-apa masalah atau sejarah kehamilan, lupakan saja. Anda boleh saja cuba memohon. Mana tahu lulus pula. Tapi kemungkinan untuk ditolak adalah 99%.

Bagi saya insurans PRUmy Child untuk bayi dalam kandungan tidaklah istimewa dan tiada beza dengan insurans perubatan biasa. Sebab keduanya hanya boleh diambil jika kita tiada risiko menuntut pampasan semasa memohon.

  • Insurans perubatan biasa – kita mestilah sihat dan tidak berpenyakit semasa memohon
  • Insurans PRUmy Child bayi dalam kandungan – ibu mestilah tiada sejarah perubatan atau komplikasi kehamilan semasa mengandung sebelum ini dan juga sekarang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*

CommentLuv badge